Khamis, 27 Ogos 2009

"For you, a thousand times over" siri ke-2

Assalamualikum, rasanya tidak lengkap sekiranya dalam bulan yang mulia ini, tidak ada satu pun peringatan yang aku selitkan dalam blog ini. Sekurang-kurangnya, jikalau aku pergi meninggalkan alam ini, dan masih ada yang membaca,mudah-mudahan pahala amal jariahnya terus menerus mengalir.

Sebentar tadi, ketika di masjid, ada sebuah tazkirah. Tazkirah tadi membincangkan mengenai
11 PERKARA YANG MEMBAWA KESEJAHTERAAN DI DUNIA DAN AKHIRAT.

Petikan ini diambil dari kitab TANBIHUL GHAFILIN (Peringatan Bagi Yang Lupa)
Pengarang kitab ini, Abul-Laits Assamarqandi berkata: tanda sejahtera dan bahagia itu ada sebelas. Semua perkara ini berkait dengan ibadah puasa yang kita sedang jalani.

1. Tidak rakus pada dunia dan benar-benar inginkan akhirat
Kalau kita benar-benar inginkan kesejahteraan di dunia dan terutamanya di akhirat, sudah tentu kita tidak akan rakus melihat limpahan material yang membawa kita ke arah lembah kelalaian dan maksiat. Orang yang tidak rakus ini ialah orang yang bekerja dengan cara yang halal (termasuklah menjaga hubungan dgn Allah smbil bekerja), tidak mengambil, memberi rahsuah dan riba dan tidak terlalu taksub mengejar kemewahan sehingga lupa yang halal dan haram. Bukanlah "tidak rakus" ini membawa erti menolak terus dunia dan hanya mengejar akhirat, tetapi dunia diambil dengan kadar yang diperlukan dan betul-betul berusaha mencari kesejahteraan di akhirat.

2. Semangatnya tertuju kepada ibadat dan mempelajari Al-Quran
Al-Quran merupakan mukjizat yang paling hebat Allah kurniakan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah perkara yang penting telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran. Oleh itu, orang yang betul-betul bersemangat mempelajari Al-Quran pasti mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan kerana masalah2nya dapat diselesaikan melalui panduan Al-Quran. Bersempena pula dengan bulan yang mulia ini, baik kiranya kalau kita semua mula mempelajari Al-Quran walaupun secara perlahan-lahan. Sekurang-kurangnya, selepas keluar dari Universiti Ramadhan ini, akan menjadi kebiasaan dalam diri kita untuk terus mengaji dan mendalami Al-Quran.

3. Sedikit bicara kecuali jika perlu
Kita sering lihat, alim ulama dan orang soleh jarang-jarang berbicara perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Sebaliknya mulut mereka sering terkumat-kamit memuji dan mengagungkan kebesaran Allah. Tidak lupa juga mengirimkan selwatan ke atas baginda Rasulullah S.A.W. Oleh itu, bersempena Ramadhan Al-Mubarak ini, baik rasanya kalau kita sama2 mendidik lidah kita untuk selalu berzikir, bersalawat dan membaca al-Quran agar apabila keluar dari bulan Ramadhan, kita tidak lagi berbicara perkara-perkara lara, kerana sudah tentu kita ingin tergolong dalam golongan yang sejahtera di dunia dan akhirat dan orang seperti ini tidak sesekali berbicara perkara2 lara.

4. Menjaga solat fardhu
Perkataan menjaga di sini tidak merujuk kepada melaksanakan semata-mata. Perkataan menjaga membawa makna, melaksanakan tepat pada waktunya, tidak sengaja-sengaja melewatkannya, menjaga rukun qalbi,fe'li ,qauli dengan tertib dan cermat dan juga khusyuk. Sesungguhnya solat fardhu yang telah diwahyukan Allah kepada Rasulullah melalui peristiwa Isra' dan Mi'raj merupakan ibadat yang utama. Solat fardhu boleh diumpamakan seperti kepala kepada semua ibadah. Jikalau kita tidak berkepala, mampukah kita hidup? Oleh itu jikalau kita tidak menjaga solat kita, adakah puasa yang kita laksanakan ini bermakna atau mungkin hanya mendapat lapar dan dahaga. Renung-renungkanlah bersama.

5. Bertawadhu dan merenda diri serta tidak sombong
Jikalau diringkaskan tajuk diatas ini, "Jangan Sombonglah". Benar, siapalah kita untuk sombong sedangkan kita hidup memijak bumi yang kita pinjam, melihat dengan bebola mata yang kita pinjam, bercakap dengan mulut yang kita pinjam, berjalan dan menulis dengan tangan dan kaki yang kita pinjam serta makan dan bernafas dengan nikmat dari Allah. Semua perkara yang kita pinjam ini ialah amanah yang kelak akan dipersoalkan di akhirat. Maka, siapalah kita untuk bejalan dengan angkuh di atas muka bumi ini. Tidakkah kita sedar betapa kerdilnya kita ini?

6. Bersahabat dengan orang-orang soleh
Nabi Muhammad pernah bersabda, Sekiranya kita berkawan dengan penjual minyak wangi, walaupun kita tidak mampu membeli minyak wanginya, tapi bau wangi tersebut pasti melekat di baju kita. Begitu juga kalau kita berkawan denga tukang besi, walaupun baju kita tidak terbakar, tetapi pasti bau besi itu melekat pada pakaian kita. Begitulah dalam hidup kita, kalau salah memilih kawan, setidak-tidaknya kita pasti akan dibabitkan dalam sebarang kesalahan yang dilakukan oleh rakan kita. Sebagai seorang remaja, amat sukar untuk memilih rakan yang baik, oleh itu kita perlulah sentiasa berdoa agar Allah mengurniakan kita kawan-kawan yang soleh dan memberi taufik hidayah kepada diri dan kawan-kawan kita yang lain untuk berubah. Kita juga perlu berusaha untuk berubah jikalau kita ingin berkawan dengan orang-orang soleh.

7. Menjauhkan diri daripada perkara haram walupun sedikit
Dalam perbuatan-perbuatan mungkar yang pernah kita lakukan, kita tidak tahu yang mana Allah paling murka. Mungkin Allah murka terhadap dosa kecil, dan mungkin juga dosa besar yang kita lakukan. Maka, kata-kata seperti "alaaa, dosa kecik jee" perlulah kita elakkan sama sekali, kerana siapa tahu sekiranya dosa kecil itulah yang Allah paling murka.

8. Bersifat pemurah dan baik
Sifat pemurah dan baik ini terlalu subjektif untuk dibahaskan. Tetapi antara contoh berlaku baik dan pemurah adalah dengan saling mengingati antara sesama manusia kerana kita ini adalah makhluk yang sering lupa.

9. Kasih Sayang kepada semua makhluk
Untuk memperoleh kesejahteraan di dunia dan akhirat, kita perlulah berkasih-sayang sesama makhluk. Jikalau kita sayang akan rakan-rakan seIslam, nasihati mereka. Jikalau kita sayangkan kawan-kawan yang bukan Islam, ajak mereka menganut Islam dengan cara yang baik. Jikalau kita sayangkan haiwan, jangan sesekali menyakiti mereka dan lindungilah mereka. Banyak lagi cara untuk menunjukkan kasih sayang terhadap makhluk Allah dan perkara di atas hanyalah contoh-contoh kecil.

10. Berguna kepada semua orang
Imam Ghazali pernah berkata, jadilah kita seperi makanan, sesungguhnya makanan itu sentiasa diperlukan oleh manusia. Jikalau kita tidak mampu jadilah kita seperti ubat-ubatan, kerana pada masa-masa tertentu kita sangat diperlukan oleh manusia. Tetapi janganlah kita jadi seperti ular yang hanya akan dipalu walaupun belum sempat meludahkan bisannya. Maksud di sini, adalah paling baik kalau kita dapat menjadi insan yang sentiasa berguna kepada masyrakat sekeliling. Jikalau tidakpun, apabila mereka dalam kesusahan, mereka akan mencari kita. Aku suka bab ini, sebab kita selalu bahaskan perihal kawan yang mudah lupa kawan. Diwaktu susah barulah hendak cari kita. Bagi aku, ini merupakan petanda yang baik kerana ini menunjukkan kita berguna kepada orang lain. Tetapi marilah kita berdoa agar Allah tidak menjadikan kita seperti ular, kerana cukup dibenci oleh masyarakat, walaupun dalam keadaan yang tidak mengancam keselamatan.

11. Selalu ingat kepada mati
Gahh! Kematian, topik yang jarang-jarang sekali kita ingat. Apatah lagi dalam usia muda remaja sebegini. tetapi itulah hakikatnya, orang yang selalu ingat kepada mati pasti selamat dunia dan akhirat kerana mereka akan sentiasa berlaku cermat dan berhati-hati dalam tindakan mereka.

alhamdulillah, anda baca sampai habis, moga-moga dapat hebahkan tajuk ini. Kat bawahni aku selitkan sekali video Rabbani-Mawi lagu SAKSI sebagai renungan.
Al-Fatihah juga kita sedekahkan kepada Ustaz Asri.

Tiada ulasan: