Rabu, 19 Januari 2011

Breakaway: Lumut & Pangkor

Sejurus tamat SPM, aku banyak berangan untuk melepaskan diri dari cengkaman kota untuk sebuah BREAKAWAY, tapi tidak kesampaian juga. Jadual kelas yang terlalu padat ditambah lagi bebanan kerja tambahan yang perlu dilangsaikan membuatkan aku terpaksa melupakan banyak perkara. Sedangkan kamera sudah tergantung, apatah lagi cita-cita lain kan. haha.
Tapi bersyukur juga berada dalam Program ini, walaupun jadual padat, sekurang-kurangnya tidaklah terperuk semata. Sebulan yang lepas, kami 33 orang tidak termasuk lecturers, merehatkan diri masing-masing di Lumut dan Pangkor. Tujuan utama hanya untuk melawat UniKL MIMET untuk memberi panduan kepada pelajar-pelajar marin yang bakal menuntut di St. Petersburg (Санкт Петербург).
Tapi kalau dah sampai ke Lumut, tak pergi ke Pangkor, macam rugi sangatkan. Makanya, aku rasa lawatan ini lebih kepada BREAKAWAY untuk kami.
Aku nak tulis panjang-panjang pun kekok lah, rasa macam baru je buka blog ni. haha. Aku sempat lah merakam 2-3 keping gambar. Let the pictures do the talk.

day 1

day 1 1

day 1 2

day 2 1

day 2 2

day 2 3

next BREAKAWAY: Terengganu,
motif: SUKHOI 30 MKM

Ahad, 2 Januari 2011

Tahun Baru. Meninjau Masa Hadapan dan Mengimbau Sejarah

с новым годом 2011

assalamualaikum,

alhamdulillah, pejam celik, pejam celik, setahun sudah berlalu, meninggalkan umat manusia yang masih enak dibuai mimpi dan masih alpa dengan hiburan semata-mata. Setahun sudah berlalu, makanya umur planet Bumi yang dicintai ini juga semakin pendek. Maka makin hampir juga kita kepada Hari Akhirat yang dipercayai dan diimani oleh hampir semua agama di muka bumi. 2010 berlalu dengan mencatat pelbagai suka duka dalam kehidupan setiap manusia, tidak kira muda mahupun tua, malang mahupun bernasib baik, 2010 pasti mencatat sesuatu kisah yang akan terpahat dalam setiap diri bergelar manusia.

2010?

2010 telah menghantar aku ke merata tempat di bumi Malaysia ini. Aku telah menetap di Sg Siput, Perak dan Kuala Nerang, Kedah. Masing-masing hanya sebulan sehingga aku kembali ke Selangor meneruskan sisa perjuangan yang belum dilangsaikan, yakni menuntut ilmu mengejar impian. 2010 menyaksikan aku berkenalan dengan ratusan manusia baharu dalam hidup aku, berasal dari pelbagai latar belakang, yang kaya, yang miskin, anak bandarnya, budak kampungnya, namun mereka semua tetap sama, hamba Allah yang kelak bakal bertemu untuk dihisab secara adilnya. Mengenali mereka merupakan nikmat Allah yang cukup besar. Tidak pernah aku terfikir untuk mengenali sebegitu ramai manusia dalam hanya 2 bulan. Keunikan perwatakan mereka telah mengajar aku untuk memahami manusia dengan lebih mendalam sebelum terus menghakimi seseorang. Sememangnya kita manusia biasa tidak layak untuk menghakimi sesorang, kerana di sisi Allah, hambaNya yang ditinggikan darjat hanyalah mereka yang bertakwa.

2010 dari sudut pandangan aku turut menyaksikan kejatuhan moral rakyat Malaysia. Bermula dengan isu penggunaan Kalimah Allah, sehingga perlawanan bola antara beberapa kumpulan dalam negara. Sungguhpun beberapa isu ini bermotifkan politik semata-mata, tetapi amat menyedihkan apabila melihat sikap mahupun tindak balas rakyat awam dalam menilai isu-isu ini. 2010 dari segi kemajuan sosial di Malaysia tidak banyak berubah, malah seperti semakin mengundur ke belakang.

2010 dari sudut pencapaian negara mungkin boleh kita banggakan, terutamanya dari sudut sukan. Malaysia berjaya mengekalkan prestasi yang baik dalam setiap temasya kesukanan peringkat antarabangsa bermula dengan sukan komanwel dan diikuti dengan sukan Asia. Mereka berjaya mencatat rekod tersendiri, dan Malaysia berjaya menempah nama sebagai Top 10 keseluruhan dalam kedua-dua temasya bertaraf antarabangsa ini. Bravo! Paling dibanggakan sudah tentu pencapaian skuad Harimau Malaya yang muda-muda belaka di peringkat ASEAN apabila berjaya menggondol JUARA buat pertama kalinya dalam sejarah temasya ini. Namun bagi aku, pencapaian dr sudut sukan yang paling membanggakan apabila skuad hoki negara berjaya mengalahkan india dan menempah tiket ke final sukan Asia menentang Pakistan. Walaupun hanya mendapat tempat kedua, namun itu merupakan pencapaian yang patut dibanggakan kerana mereka telah mengembalikan zaman kegemilangan skuad hoki negara. SYABAS KALIAN!

Dari sudut peribadi 2010 merupakan tahun yang wajib dikenang sehingga akhir hayat. Tahun yang telah merubah kehidupan aku, yang telah menyaksikan aku berubah dari seorang pelajar sekolah biasa sehingga menjadi mahasiswa, menyaksikan aku berjaya mengekalkan impian dan cita-cita aku.
MAC 2010
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumukan diseluruh Malaysia. Hati aku sungguh tidak tenteram, namun sudah redha dan bersyukur awal-awal dengan apa pun keputusan yang akan diterima. Malam itu di facebook dan ym sungguh meriah, macam Hari Raya di kampung, cuma tempat sahaj bertukar ke alam maya. haha. Melangkah ke sekolah, rakan-rakan yang lain kebanykannya sudah hadir lebih awal. Walaupun hati masing-masing resah dan gelisah, semua rasa sangat gembira bertemu dan disatukan semula. Gelak ketawa mebanjiri suasana, tidak kering gusi dibuatnya. haha. Rindu aku saat saat itu. Sehingga keputusan diumumkan. Ya, aku punyai sasaran, tapi aku sendiri tidak meletak harapan. Allah maha pemberi. Dia tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Alhamdulillah, aku berjaya perolehi keputusan yang diidamkan.

Paradox_0105
sempat juga melaksanakan sesi fotografi bersama :) MAC 2010.
APRIL-MEI 2010
"Anda berjaya ke temuduga MARA untuk memohon tajaan". Lebih kurang begitulah yang tercatit dalam surat yang dibawa oleh baba dan mama di Kem Terkok, Sg Siput. Aku ketika itu sedang mengikuti Program Latihan Khidmat Negara yang dijadualkan selama 3 bulan. Sepucuk surat lagi, dari UniKL, kemasukan ke program foundation in engineering yang aku pohon sejurus selepas mendapat keputusan SPM. Dua pucuk surat itu menjadi teman aku sehari itu. Usai urusan dengan surat tersebut, baba dan mama mengucapkan salam dan byebye. haha. Itulah minggu pertama aku di PLKN.
Beberapa minggu kemudian, baba mengambil aku dari kem tersebut pulang untuk temuduga MARA. Aku berjaya peroleh cuti dari pihak Jabatan. Temuduga berlangsung dengan baik, cuma mash terngiang-ngiang di kepala aku apabila puan peng-interview bertanya, " Why do you want to study in aviation field?" aku jawab, " Because it is my passion, it is what i want to do since im a kid. Its my ambition." kemudian dia bertanya lagi,"At what age you decide that you want to be an aircraft engineer?" my answer is, "At the age of 5, when i know the word AMBITION". "What?! At the age of 5? You are crapping." "Of course i'm not crapping, of course at that age i dont know the word ambition, but i already know the word "Cita-cita"." Ya aku tahu, mungkin dia hanya nak uji aku sahaja, tapi sejurus dia cakap aku mengarut, rasa hati ini tercabar. Perlu ke dia mengeluarkan kata-kata yang bagi aku agak kasar dan tidak professional. Mungkin anak dia pada usia 5 tahun nak jadi polis atau askar(cita-cita tipikal kanak2), tapi bila dah besar jadi pegawai MARA kan. haha.
Masa aku di PLKN tidak lama, lebih kurang sebulan sahaja, kemudia berhijrah ke utara, ke negeri hijau kuning. Menyambung pelajaran di KOLEJ MARA KUALA NERANG. Suasana di situ, dahsyat! HEBAT! SUPERB! Mereka merupakan the coolest guyss pernah aku kenal. tekan sini, di pautan ini ad cerita mengenai KMKN. haha, tak mampu aku nak tulis semula.

Bye-bye (3months)
i did say bye-bye. tak sampai 3 bulan punn
Jun-July 2010
Aku ditemani Iyzie James cuba menyemak keputusan permohonan biasiswa MARA. Aku sudah tekad, jikalau aku tidak berjaya mendapat menyambung pelajaran di Moscow Aviation Institute, aku akan kekal di KMKN. Alhamdulillah, Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Hari terakhir aku meninggalkan KMKN amat menyedihkan, beberapa titisan air mata berlingan di pipi. Kawan-kawan aku di sana amat menakjubkan, mereka luar biasa, lain dari lain. Sedih aku nak meninggalkan insan-insan ini, terutamanya Iyzie, Ijad dan Rifdi yang banyak menghabiskan masa dengan aku. 4 Julai, aku mendaftar di UniKL MIAT. Hidup aku selepas itu tidak banyak berubah, kecuali hari demi hari makin banyak bercakap dalam bahasa rusia. haha. Hidup aku dipenuhi dengan jadual yang padat dan padat dan padat. haha.

ahmad luqman
Ahmad Luqman juga lahir pada 1 Ramadhan tahun 2010. Menambah koleksi keluarga AHMAD.
Meninjau Masa Hadapan
2011 bakal menyaksikan pelbagai kejutan. Aku pasti akan itu, dan semuanya merupakan kesinambungan dari episod 2010. Jikalau dikurniakan rezeki oleh Allah, bulan Jun menyaksikan aku meninggalkan tanah air untuk menyambung pelajaran. Tidak mudah, aku perlu berusaha keras, dan tiket ke sana bukannya pasti, aku perlu melipat ganda usaha dan dengan berkat doa kalian, insyallah.
Tidak banyak yang aku boleh perkatakan untuk meninjau masa hadapan. Cuma mentaliti rakyat Malaysia terutamanya melayu amat membimbangkan. Kita seolah-olah mengejar Indonesia agar kita berada di takat yang sama, jikalau kita mengejar ke hadapan tidak mengapa, tetapi mereka yang mengejar ke hadapan dan kita semakin mengundur kebelakang. Kita dengan bangganya menulis di berita-berita utama kita, MALAYSIA NEGARA MAJU! tetapi rakyat Malaysia masih mempunyai mentaliti rakyat negara dunia ke-3. Semua negara di dunia ini makin berganjak ke hadapan dari sudur ekonomi, sosial dan politik. Tetapi kita pula semakin mengundur dari ketiga-tiga aspek ini. Amat sedih, malahan mentaliti yang kurang kualiti ini bukan mentaliti minoriti, sebaliknya mentaliti majoriti rakyat yang perlu diubah dengan segera. 2011 juga mungkin menyaksikan berlakunya Pilihan Raya Umum sekai lagi, selepas PRU2008. Ini cuma jangkaan aku melihat tindakan-tindakan PM Malaysia yang juga Presiden Umno, dan seperti PRU yang lepas kita tidak dapat jangkakan sebarang keputusan. Tetapi aku percaya PRU iniamat penting untuk melihat momentum perkembangan negara. Sekiranya kita masih mengikut momentum perkembangan hari ini, insyallah, menjelang 2019-2020 kita akan bankrupt.
2011 juga mungkin bakal menyaksikan begitu banyak teknologi teknologi baru akan dijual di pasaran. Mungkin kereta elektrik yang merupakan kereta paling ideal dalam masa 100 tahun ini akan menunjukkan belangnya dia pasaran terutamanya pasaran amerika dan eropah. Dengan wujudnya kereta elektrik berasaskan hydrogen, kita mungkin bakal melihat lebih banyak kajian dan keberjayaan diperoleh dalam usaha menggantikan petrol dan diesel sebagai sumber tenaga utama.

Mengimbau Sejarah.
Mungkin ramai yang tidak sedar, 2011 merupakan sambutan ke-500 tahun KEJATUHAN EMPAYAR ISLAM MELAKA di tangan Portugis. Dalam menyambut sambuatn 200 tahun ini, mungkin kita patut bersama-sama mengkaji kitab "Sejarah Melayu" ataupun "Sulalatus Salatin" yang dikarang oleh beberapa pengarang Melayu seperti Tun Sri Lanang yang merupakan Bendehara Melaka.
Kita semua sedar dan tahu mengapa Empayar Melaka yang cukup besar dan digeruni berjaya ditakluk oleh Portugis. Malah Melaka merupakan Empayar pertama di kepulauan Melayu yang dikehendaki oleh kuasa barat. Disebabkan oleh sikap Sultan yang suka dan gilakan hiburan, sikap pembesar-pembesar yang suka mengadu domba, sifat tidak jujur dan rasuah yang berleluasan, pengkhianatan kuasa dan akibat melupakan ajaran agama telah menunjukkan kepada kira rakyat hari ini bahawa sebesar mana pun sesebuah kerajaan, tetapi jikalau sikap2 di atas di amalkan, makanya sudah tentu Allah akan menimpakan bala terhadap mereka. Sikap-sikap di atas tidak kurangnya yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Cukup sifat untuk kita diturunkan bala Allah. Malah ditambah pula dengan gejala sosial yang terlalu berleluasa hingga sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa. Kita pula masih terlampau lalai dengan hiburan yang penuh sarat dalam minda kita. Bangkit, bangkit rakan-rakan ku, bangkit kita bersama, sedar, sedar sahabatku, jangan kita ditipu, bangun,bangun bangsaku jangan kita diijak lagi, maju kita bersama, lakukan perubahan bersama. AYUH kita bergerak ke hadapan dan lakukan perubahan demi AGAMA DAN NEGARA yang kita cintai.

2011, kami menanti anda, dan kau telah muncul, terima kasih Ya Allah kerana memanjangkan umur kami, jadikan kami umatmu yang kuat Ya Allah, jangan kau turunkan bala terhadap kami dan pulihkanlan lubang-lubang yang menghantui kami ya ALlah, amin.

с новым годом!
HAPPY NEW YEAR!
Selamat Tahun Baru!